Friday, August 26, 2011

Salam Aidilfitri



Selamat hari raya, maaf zahir dan batin kepada semua pembaca blog A to Z of Us..Maaf jika ada terkasar bahasa dan terlebih jenaka.

Berhati-hati semasa memandu atau berada di jalanraya. Semoga kita dijauhkan daripada bencana dan malapetaka.

Semoga Aidilfitri kita kali ini disambut dengan kemeriahan di dalam kesederhanaan.

Selamat hari raya daripada saya dan keluarga.

Oh, baju raya ku...


"Acik, dah siap ke baju kurung saya?"
"Yang mana? Ooo..yang dalam beg plastik dengan contoh tu ye..tak sempat siap sebelum raya la. Banyak sangat nak kena jahit lagi ni. Tak sempat nak habiskan."

Bila makcik tu memberikan jawapan ikhlas seperti di atas, saya terkedu. Ok, fine. Redha jela.

Adoi, sedih ok sebab baju raya tak sempat siap. Walaupun confirm lepas solat sunat hari raya mesti kena kerja keras dekat dapur, tapi tetap jaki dengan apak dengan anak yang dah ada baju raya..


Tapi kan, tapi kan...tetap sedih...waaa...baju raya tak siap..!!

Thursday, August 25, 2011

Aktiviti Pagi Ini..

Tu diaaa...dia dah mai dah. Hari ini saya dah tak bersemangat nak bekerja maklumlah esok hari last kerja sebelum raya. Esok kerja lagi, tapi saya excited macam dah nak beraya esok dah..biasala, budak-budak remaja memang macam tu..heh..


Walaupun lambat lagi nak balik Kuala Kangsar, tapi seronok sikit sebab tak payah nak kelam kabut pergi kerja. Pastu lepas sahur bolehla rehat-rehat ke, kemas-kemas rumah ke..tidur-tidur ke.. : ) 


Lagipun setakat ini semua kerja dah selesai dah. InsyaAllah tak makan gaji buta..kuikui..Daripada asyik layan Facebook, baik saya buat kerja yang berfaedah iaitu...isi duit raya dalam sampul..!!






List anak buah sikit punya panjang. Tu baru berapa belas je tu. Nampak sangat kakak abang aku tak produktif sangat. heh. Tapi makin lama makin rasa diri dah tua sebab makin ramai anak buah yang dah mula kerja. Sedih okeh Maksu ni.




Selamat berpuasa di 25 Ramadhan..


Errr...mana-mana mak-mak/ayah-ayah yang mewakili anak tu, nak duit raya dari Kak Amie ni (hah? kakak?) hihi, meh la datang beraya kat rumah Kak Amie di Melaka ek. Bukan apa, karang kalau pos je ada sedikit rasa was-was kemana ianya akan disalurkan..(eh, mana ada pengalaman je??!!..)hehehe..

Wednesday, August 24, 2011

Sampai lepas raya...


Kad raya untuk klien-klien. Baru sign kejap tadi.
Ni agak-agaknya sampai lepas raya la ni.
Maklumlah, abang-abang posmen pun dah nak beraya dah.
Mesti keciwa la klien-klien ni nak tampal kad ni kat pintu/dinding. 
hehe..














Hari ini dah 24 Ramadhan.
Sedihnya tinggal berapa hari lagi je kita di bulan Ramadhan.

Tuesday, August 23, 2011

Bau duit raya yang harum..

Duit raya saya dah sampai. 
Jangan salah anggap.
Sebenarnya saya telah menyalahgunakan gaji yang telah lama masuk.
Gaji kami dah dapat 15hb lepas.


Semangatnya saya tukar duit raya sampai RM1000.00.
Tahun lepas pun macam tu.
Walaupun tak habis diberikan pada kanak-kanak yang belum baligh, saya gigih gunakan untuk isi minyak kereta, beli suratkhabar, beli ikan dengan duit RM1 baru lepas raya.
Walaupun mengundang senyum perli orang, saya tak kisahhh.. :P 


Ada kemungkinan tahun ini pun duit raya akan digunakan sehingga ke helaian terakhir macam tahun lepas.
Tahun ni dengar-dengarnya satu Melaka takde duit RM5 yang baru.
Dahla saya tukar duit RM5 yang paling banyak.
Ermm...ikut nasib lah anak-anak buah ku..




 




 


Tapi bau duit raya baru sedap.
Cium dulu dan bergaya macam orang kaya sebelum semuanya hilang dari pandangan...

:  P




Monday, August 22, 2011

Koleksi Kad Hari Raya Setakat Ini..

Sedih ko. Tahun ni dah minggu-minggu akhir puasa ni cuma baru dapat 3 keping je kad raya. sob sob sob..nampak sangat diri makin dah tak gelemer. Dulu masa kerja kat KL kad raya sana sinun..




Siap boleh buat tampal kat pintu lagi. Kemeriahan Aidilfitri la katakan. Ramai klien yang bagi. Kat sini tak ramai yang bagi. Kalau bagi pun kongsi-kongsi atau satu firm dia bagi satu je. Takkan nak berebut-rebut tarik-tarik rambut pulak kan..ermmm..


Rindunya dengan budak-budak ofis lama di KL. Ni kad raya dari seorang kakak clerk tu dengan seorang lawyer junior. Masa tinggalkan firm tu, budak ni masih chambering lagi, belum jadi lawyer pun.




Bos lama saya dulu seorang art collector. Jadi ofis kitaorang merangkap galeri seni jugakla. Kalau ada klien datang mesti bawa tengok lukisan sekeliling firm. Kat bawah firm pula memang ada galeri bos suami isteri. Segala macam artwork ada termasukla lukisan, sculpture besi la, kayu la dan segala macam lagi la. Yang pasti, kalau nak pergi galeri tu sorang-sorang tak berteman kirim salam la..huhu 


Kad raya ofis kami dulu memang bos saya tu akan ambil dari mana-mana koleksi lukisan untuk dijadikan gambar cover kad raya. Ini koleksi siri "Pertarungan" oleh pelukis Amron Omar. Koleksi ni bersiri. Jadi banyak sangat lukisan dari siri "Pertarungan" ni. Kad-kad raya sebelum ini pun ada lagi simpan kat rumah.


Sebelah kiri kad raya tahun lepas "Pertarungan", 2002.
Sebelah kanan, kad raya tahun ini "Pertarungan", 1997
Bila tanya bos kenapa pilih gambar orang 'bertarung' jadi kad raya? Jawapan bos, lambang pertarungan melawan hawa nafsu di bulan Ramadhan. Serius tak faham orang seni ni..hehehe..


Tetiba rasa macam rindunya dengan kawan-kawan ofis lama. Yela, orang kata tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pulak ofis tempat pertama dapat gaji - kena marah dengan bos - kena seranah sebakul dengan klien - tempat menangis meleleh-leleh air hidung mengadu dengan kakak senior - juga tempat melarikan diri time klien yang macam kena rasuk datang..keh keh keh...


Testing..testing..1, 2, 3...








Budak comot terai sampin raya baru.
Baju raya belum ada sebab mama belum belikan lagi...


Sebab mama tak daya lagi nak membeli belah untuk baju raya dan yang seangkatan dengannya..
Sebab bonus raya mama takdak lagi..huhu


Selamat berpuasa di hari ke 22 Ramadhan...

Friday, August 19, 2011

Tak Baik Tau..!!

Kadang-kadang kami terpaksa beli makanan untuk si kecik seorang yang tak puasa tu memandangkan tak masak.
Tapi kan si kecik ni kan..
Pandai pulak dia makan over-over mengalahkan orang berpuasa time buka puasa..grrr..tambah nasik 2 pinggan lagi!!


Last week masa nak window shopping baju raya, kami singgah ke KFC.
Bukan..bukan saya yang teringin nak makan.
Modus operandi di kaunter KFC adalah bawa sekali budak kecil bagi menunjukkan prima facie evidence - bukti jelas kenapa KFC dibeli pukul 2 petang.


KFC lengang.
Di hujung sana ada seorang akak dan anak perempuan nya.
SEDANG MAKAN ok..
Sehingga menjilat jari..!!
Kakak tu senyum-senyum kambing.
Akak, taulah akak sesungguhnya tak cool okay senyum-senyum gitu sambil minum air coke..


Di kala itu, agak bergoyang imanku ini.
Ada juga la datang perasaan nak rampas peha drumstick KFC Ahmad dikala itu.
Ahmad jeling-jeling tak puas hati..hehe


Kak, tak baik tau kak..
Menggugat keimanan saya..
Kut ye pun mana boleh makan camtu.
Cover cover la sikit lain kali kak...


Sekian cerita saya yang takde idea nak update apa..
heh...


Wednesday, August 17, 2011

Semangat Nasi Lemak Sudah Maiii...



Ni pagi lagi ni. Baru pukul 11 lebih.
Tapi rasanya anak tekak dah senaraikan calon-calon pilihan dia untuk berbuka petang ni.
Calon-calonnya adalah...jeng jeng jeng...


Dan pemenangnya jatuh kepada nasi lemak sambal ikan bilis dengan telur mata kerbau!!
Mantapnya pilihan..kelasss kau tekak..!! hehe


Fuh, punyala teringin nak makan nasik lemak ni.
Nasi lemak dengan sambal ikan bilis yang sambal dia kaw-kaw pedas.
Dah lama tak makan nasi lemak.


Lama bermaksud ermmm...lama.
Ye, ye, sangat lama sampai tak ingat bila kali terakhir makan nasi lemak best.
Yang last rasanya masak sendiri..heh..


Yang saya paling ingat, nasi lemak di RnR Nilai arah utara.
Mak oi..sedapnya nasi lemak dia..owh, terharunya..!
Kalau sedap, mesti rasa macam terharu bila makan..huhu..over


Tabahnya aku google resepi nasi lemak pagi-pagi macam ni...hehehe..
Semangat nak masak datang balik ni.
Tak jadi masak, tiba-tiba petang karang beli kat kedai takpela.
Yang penting nawaitu dah ada..hehe


gambar nasi lemak buat jadi screen saver penemanku dikala ini..hehe

Tuesday, August 16, 2011

Lagu Raya Teratas Dalam Carta Hati...



Masuk 2/3 bulan Ramadhan..
Dah dengar lagu raya sana sini.


Tahun lepas Incik Husband bersemangat beli cd lagu raya.
Pasang dalam kereta masa nak balik Kuala Kangsar.
Nak ambik "bau-bau" raya katanya.
Saya korek-korek tak jumpa.
Maka.
Kena beli cd barulah nampaknya...




Lagu raya kegemaran saya..
Bagi saya lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ni sangatlah klasik.
Menggambarkan zaman budak-budak saya.


Datuk Siti Nurhaliza - Air Mata Syawal.
Jamal Abdillah - Salam Aidilfitri.
Allahyarham Sudirman Hj Arshad - Dari Jauh Ku Mohon Maaf.
Pun saya suka juga.




Owh, rupa-rupanya sentimental juga aku ni..huhu..
Suka kat lagu-lagu raya sedih.
Tapi bila dengar lagu raya ni sedih sangat sebab teringat pada arwah abah.


Apa lagu raya kegemaran sahabat semua?


Friday, August 12, 2011

12 Ramadhan ...Salam Jumaat

Syukurnya hari ni dah Jumaat.
Dah mula dah nak busy balik ni.
Semalam bank call nak bagi assignment lagi.
 

Petang ni ada majlis berbuka puasa dengan Datuk dan Datin.
Dan bos-bos kecil yang lain.
Maka, harini balik awal sikit.

Anda semua.
Tolong doakan saya dapat bonus ye tahun ni..aminn..


Kerjasama dan pertolongan anda amatlah saya dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.
hehehe...

Thursday, August 11, 2011

Mimpi Ngeri...

Ini adalah kisah benar dan bukanlah rekaan semata-mata.
Sementara menantikan waktu yang sesuai untuk kita melakukan perkara sunat di bulan Ramadhan (read as tidur sekejap) secara berjemaah, apa kata anda semua bacalah luahan hati saya pasal mimpi ngeri saya malam tadi.
Punyalah ngeri sampai terus terkejut bangun sahur. hehe


Ada ke patut pelik je mimpi saya ni.
Saya mimpi saya nak sambung study.
Bukan seorang, dengan kawan ramai-ramai pulak tu.
Ayu je pakai baju kurung pergi kelas dengan beg opah-opah nak pergi mengaji tu.


Pastu sampaila turn nak tau saya dapat course apa.
Selak la buku pasal course-course yang ada.
Selak-selak nama saya tersenarai dalam course "I love artis"


Haha..kejadahnya course ada macam tu sekali.
Apa bendala saya fikir sebelum mimpi ye sampai gitu sekali.
Cuba imejin apala soalan periksa dia nanti.


Soalan 1
Sila terangkan dalam 1000 patah perkataan adakah anda menganggap punca hubungan pertunangan di antara penjaga gol pasukan kebangsaan,  Khairul Fahmi Che Mat atau "Apek" dengan Harmie Aimelia atau "Elia Jejariruncing" terputus disebabkan oleh gosip yang mengaitkan Apek dengan seorang gadis bernama Dahlia Teck?
Soalan 2

Berapakah nilai anggaran persalinan perkahwinan yang ditaja untuk perkahwinan Memey dan Norman Hakim?

(a) sejuta
(b) berjuta-juta lemon
(c) ermmm..rasanya adalah dalam 3 juta kut
(d) eleh, orang sponsor

Astagfirullahal'azim..
Jiwa kacau sungguh rasanya kalau dapat course gitu.
Takmauuu..tak rela!!
Ngeri betul mimpi tersebut..grrr..


 

10 Ramadhan Saya ...Halusinasi Bulan Puasa..

Pagi tadi sahur makan biskut.
Cicah air milo.
Rasa macam ok jugak sahur macam tu.
Cukup 30 hari insyaAllah merasalah selim macam pelakon Nora Elena tu.
Ok, perasaan perasan yang melampau.



Yang sadis, setelah biskut habis di cicah.
Expiry date : October 2010.
Ok, ok, fineeee..!!
Memang banyak koleksi benda expired la dalam rumah tu..
Maka, bertabahlah wahai perut...!!



Sejak masuk bulan puasa ni.
Asyiklah berhalusinasi.










Ada ke patut baca ayat ni "Misteri Lelaki Bergelang Longan"
Air longan?? Grrr..

Nampak sangat halusinasi ilusi ni..ermm



Adoi la perut...--- as at 9.35 am..




'Halusinasi' ialah berlakunya persepsi dalam kondisi sadar tanpa adanya rangsang nyata terhadap indera. Kualiti dari persepsi itu dirasakan oleh pesakit sangat jelas, substansial dan berasal dari luar ruangan nyatanya. Definisi ini boleh membezakan halusinasi dengan mimpi, berkhayal, ilusi dan pseudohalusinasi (tidak sama dengan persepsi sesungguhnya, namun tidak dalam keadaan terkawal). Contoh daripada fenomena ini adalah dimana seseorang mengalami gangguan penglihatan, dimana ia merasa melihat suatu objek, namun deria penglihatan orang lain tidak dapat menangkap objek yang sama.

Wednesday, August 10, 2011

WW : Alat Bantuan Penting di Bulan Puasa Memandangkan Keadaan Mata Agak Kritikal...





p/s : mengantuk sampai nak terjatuh kerusi..kuang kuang kuang,....

Tuesday, August 09, 2011

Tersampuk Astro Indopek..

Saya rasa kami suami isteri tersampuk semangat Astro IndoPek kut sejak menjak ni..heh
Hari-hari tengok Astro babytv dengan Astro IndoPek je.
Hari-hari mau..


Astro IndoPek pakej Astro terbaru yang ada dua saluran, Bintang (channel 141) dan Pelangi (channel 142).
Saya rasa rancangan favourite saya magic-magic "The Master" kut..huhu..saje lain sket.
Pastu kalau rancangan agama dia, "Islam Itu Indah" pukul 5.30 sampai 6.00 pagi kat Bintang, ustaz tu memang terbaik. Tengok ustaz tu tarbiah orang memang ikhlas dan doa dia memang boleh buat hati sayu.
 


Sekarang ni percuma la lagi (dari 16 Julai sampai 14 Ogos 2011).
Jadi harusla tidak disia-siakan benda yang percuma ini.. : P



 

 





Sesiapa yang nak langgan boleh la ke http://www.astro.com.my/portal/indopek atau hubungi Astro customer service untuk melanggan.

Perghh...dah macam duta dahhh.. 




Monday, August 08, 2011

Semangat Raya..

Dah masuk hari ke 8  Ramadhan hari ni.
Tahun ni saya puasa "pelan-pelan kayuh".
Herannya semangat raya saya belum datang-datang lagi.


Tema baju raya pun belum ada lagi ni.
Tapi kalau pakai baju kaler-kaler pun apa salahnya kan. Meriah sikit.
Aish,..takkan malam-malam raya nak meredah bazaar Ramadhan beli baju raya lagi nanti ni?...macam tahun-tahun sudah nampaknya.
Dengan harapan akak kedai baju dapat memberi harga kesian bila tengok muka orang nak menangis sebab nak balik beraya kampung sendiri..


Tahun lepas Ahmad telah wujud di muka bumi Allah ini.
Jadi mama telah berusaha menjadi "pemegang amanah" yang amanah sehabis baik.
Walaupun adakalanya mama agak confuse.
"Eh, ni duit raya aku ke Ahmad??" dengan anggapan diri masih budak umur 15 tahun..ehehe


Tahun lepas Ahmad macam agak sangsi dengan kredibiliti mama je.
Sampai tidur pun pegang duit raya...ermmm




Baju raya tahun lepas warna maroon.
Tapi samping untuk Ahmad takde saiz lagi.
Kalau tidak memang dah tentu-tentu jadi mangsa fesyen ni.. ngeeee..

 


Apa kata jangan fikir dulu pasal semangat raya.
Kita fikirkan semangat nak habiskan sebulan berpuasa dengan jayanya...



Kadar Zakat Fitrah Tahun 2011

Masa kecik-kecik dulu tak faham pun apa itu zakat fitrah.
Tau-tau mesti arwah abah bawak balik "tiket-tiket" ada tulisan Jawi.
Adik beradik ramai, maka banyaklah "tiket" yang arwah abah bawak balik.
Lepas tu boleh buat main-main naik bas dengan "tiket" tu.




Tapi dah tua bangka ni, memang nak kena pang kalau taktau zakat fitrah tu apa.




Buat yang berkewajipan untuk membayar zakat, jangan lupa untuk membayar zakat fitrah tahun ni.
Semoga dapat membantu yang memerlukan nanti.




Kadar zakat fitrah untuk tahun 2011.




kredit : nurhafiz2009.blogspot.com

Friday, August 05, 2011

4 Ramadhan Saya - Tips Membeli Belah di Pasar Ramadhan


Selesai sudah puasa saya di hari ke 4 Ramadhan semalam.
Menggigil lutut menahan iman bila tengok Ahmad makan bubur lambuk pukul 6.45 petang..grrr..


Semalam pertama kali menjejakkan kaki ke pasar ramadhan.
Dekat dengan rumah mak mertua saya di Bukit Beruang, Melaka.
Param nya kecil je tapi sesak...


Maklumlah, dekat dengan universiti, kolej, berebut-rebut masing-masing student-student ni beli makanan.
Gila ko, murtabak yang fizikal nya tak berapa menggiurkan tu pun boleh habis..!!!
Happy gila muka pakcik murtabak tersebut sambil kemas-kemas kedai dia sambil pandang-pandang kerek kat peniaga lain..
Kesian mereka-mereka ini..sob sob sob.. 
Oh.."mereka-mereka ini" merujuk kepada student-student yang kelaparan tersebut ye.. 


Memang meriah param di situ.
Sampai terkeluar jugaklah statement berani mati daripada suami seorang wanita yang cute : "Next year abang rasa kita ambik satu geraila. Meniaga apa-apa. Kita buat nasik lemak berlauk ni gerenti habis"..
Yang dibalas dengan pandangan orang-tengah-lapar-sangat-sangat-jangan-buat-kelakar-seram-boleh tak-ala-ala "Ya Rabbi laki aku ni..!!" -- dalam hati..


Tips?? Ye, ye tips membeli di pasar Ramadhan edisi saya :

HANYA beli makanan yang dimasak di situ atau masih panas untuk mengelakkan sakit perut ATAU boleh mengambil langkah berani mati kamikaze seperti suami seorang wanita yang cute itu lagi (eh, laki aku lagikkk..!!) yang bertanya secara direct kepada peniaga : "Kak, ni karipap bila? Elok lagi ke? Semalam punya tak nak tau" -- masa ni dah babai tinggalkan dia seorang-seorang dah..hehe

HANYA beli di gerai yang ramai orang kerumun dan orang beli. InsyaAllah sedap atau boleh diterima tekak sebab dah masuk hari ke 5 Ramadhan.

HANYA beli sebungkus seorang sahaja. Caranya tawaf secara lengkap tanpa tertinggal satu gerai pun. Jadi, pilihan hanya boleh dibuat sekali sahaja. Ingat..!! Sekali sahaja. Kalau terlepas atau mengidam sangat, esok ada lagi pakcik tu. Tak kemananya dia sampai raya nanti.

JANGAN sesekali beli air yang memang diakui sangat kalerful yang boleh menggoyahkan iman. Boleh bancuh sendiri air di rumah. ATAU hanya beli satu jenis SAHAJA dengan membuat pertanyaan annoying berkali-kali seperti wanita cute tersebut bertanya kepada suaminya "Abang taknak beli air? Serious ni? Balik jangan menyesal.." jika malas membancuh air di rumah..

PALING PENTING..lepas beli terus belah dari param tersebut untuk mengelakkan penyakit rambang mata yang serius dan penyakit poket kering sebelum raya..!!

Selamat mencuba..!!

Selamat berpuasa di hari ke 5 Ramadhan...semoga hari ini kita diberkati...insyaAllah ... 

Thursday, August 04, 2011

Dah jadi blog gosip?

Agak sedikit konfius jugak la..
Bila masa blog ku yang suci ini bertukar jadi blog gosip artis?


Sikit punya banyak hits keywords "Erra Fazira hamil anak kedua".
Pastu sikit punya ramai search "Ally Iskandar Putus Tunang".
Entri apa yang ada melekat dengan keywords ni??
Ermm..


.

Yang ni rasanya pernah terbaca, Erra Fazira cuma bagi statement dia dah bersedia untuk hamil anak kedua, tapi belum hamil. Macamana la tajuk nya terus letak "Erra hamil anak kedua"?

Memang saje je nak bagi cerita jadi panas. ish ish ish...



 
ally iskandar putus tunang



Yang ni pulak wallahualam. Betul ke tidak Ally Iskandar, hos Malaysia Hari Ini tv3 ni dah putus tunang dengan Nur Aishah Zainal..

Kalau rasa-rasa macam nak tau tu, bolehlah google.

Banyak sangat rasanya cerita ini itu.










Nampak macam dah ke arah merapu dah ni..
huhuhu..
kena buat sesuatu ni!!


p/s : Pertunangan seeloknya dirahsiakan sebagai sabda Nabi SAW “Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan” (Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil)

Oh, janji manismu..


Sebelum Ramadhan...

Suami R (bukan nama sebenar) : Mama takyah masak la masa berbuka. Masak waktu sahur je. Lepas keje kita beli dekat param je sorang sebungkus. Bantu majukan ekonomi orang Islam.

Isteri A (bukan nama sebenar) : yahooo..yabedabeduuu...boleh sila panggung tengok tibi sebelum buka..!! yahuuu..!!


Semalam 3 Ramadhan...

Suami R (Bukan nama sebenar) : Mama, abang dah keluarkan ikan dengan udang dari peti ais. Mama wat udang masak sambal. Ikan masak kari. Nasik abang dah masak dah. Sayur pun masak sekali la kalau camtu..

Isteri A (Bukan nama sebenar) : sob sob sob...tak dapat mama nak tengok Upin Ipin..


p/s : Kalau dapat masak untuk keluarga dalam bulan puasa kan lebih sweet gitu. Dapat pahala lagi menyediakan makanan untuk orang berpuasa. Lagipun masa ni kalau gulai kari ikan tawar gila-gila pun, makan senyap-senyap laju-laju je. hehe..




Wednesday, August 03, 2011

Media Sebagai "Medan Pertempuran" Masa Kini..

Sekarang ni dah jadi semacam trend.
Media sebagai alternatif kepada perbincangan bersemuka.
Sebelum buat apa-apa, buat sidang akhbar dulu.
Taknak baca memang dah masuk newspaper.
Tak pastila samada ianya betul-betul ke akan menjelaskan apa yang tersirat.
Atau akan menyebabkan masalah lebih berselirat...heh








Pulang cincin

Kisah putus tunang penjaga gol pasukan bolasepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (Apek) dengan Aimie Harmelia Mohd Hashumi (Elia Jejariruncing).
Apek cerita ini dalam suratkhabar.
Elia cerita begini pula.
Kita harap yang baik-baik ajela.



SAAT BAHAGIA...Jimmy dan Nursuhaila ketika majlis perkahwinan mereka tahun lalu.





Kisah rumahtangga Jimmy Shanley dan isterinya Nursuhaila Eliani Shuhaimy.
Yang sangat kontroversi.
Bila cerita rumahtangga dikeluarkan, macam-macam versi yang kita dengar.
Versi pihak yang sebelah ini, versi pihak yang sebelah sana. 


Isu politik jangan kiralah.
Itu sudah semestinya.
macam pertandingan balas pantun pulak..


Agaknya bila jadi selebriti, orang terkenal, tak boleh tidak perlu hadapi benda-benda macam ni. Maksudnya kena pergi kursus pastu belajar macamana nak menepis gosip/isu panas?? heh


Persoalannya, siapa yang untung siapa yang rugi?


p/s  : Kesian pada 380 pekerja-pekerja syarikat Dawama Sdn Bhd yang dapat notis cuti tanpa gaji. Hairan...ermm

Entri Ramadhan Tahun Lepas..

Entri Ramadhan tahun lepas...bila baca balik macam kelakar nya lah cara penulisan aku ni. Macam kepoyo-poyoan pun ada. heh..

Ramadhan yang penuh dengan keberkatan, ketenangan dan kenangan..Semoga dapat lagi bertemu Ramadhan akan datang, insyaAllah.


Bulan Ramadhan dah nak datang menjenguk2..tapi saya ni rasa macam berdebar-debar je nak menghadapi Ramadhan..dalam hati "boleh ke tidak aku ni puasa" pastu nak menyusukan Ahmad lagi..ermmm...tak sampai sebulan je lagi ni sebelum nak puasa.. lol. 
 

Bila cakap pasal Ramadhan ni..macam-macam memori yang kita ada kan. Ada yang sedih, ada yang gembira, ada yang manis, pahit hatta yang masin-masin atau tawar melesyet (bahasa Perak dah terkeluar ni..).

Yang pastinya hari first puasa je dah nampak rendang ayam, lemang, ketupat nasik, ketupat pulut, kuih berbaris macam askar kat atas meja rumah mak abah kita kan (tak kan tak balik kg kut) waktu raya..patutnya semangat nak rebut pahala bulan Ramadhan, bukannya ribut nak carik resepi masak apa bila raya...(ngeng...macam bagus je ayat ni..padehalllllll...)
 
 
Kalau cerita pasal memori sedih saya di bulan Ramadhan ni sudah semestinya.... pitam masa berpuasa. Malunya sebab pitam tgh2 orang....orang lain dok havoc berebut nak beli kuih bukak puasa, aku plak wat havoc kat situ.

 
Eiii..malunya. Saya pernah pitam masa pergi Pasar Ramadhan Jalan TAR KL. Agak-agaknya dalam 6 tahun lepas kut. Ishhh..harap2 sesape yg tgk tu dah luper la rupa acik ni..hihi..Sampai mengganggu trafik sampai jem la jugak jalan. Havoc tak havoc nya. Biasala, orang Malaysia kan rajin TOLONG TENGOK...huhu...pastu pernah pitam masa shoping raya...(ngeri kan...mesti takde can nak rebut2..huhu) sampai ada orang tolong hantar balik sampai depan rumah..hihi..sejak menjak tu kena awas2 sket..kalo ada rasa-rasa macam nak tumbang, nak buat havoc tgh2 orang ramai tu sudah2nya la bershopping..

 
Tahun lepas puasa pertama dan raya sebagai isteri orang..selalu kalau kat u dulu makan megi pon takde hal, tapi bila dah kawen, ate tak gheti2 ke nak bangun pepagi masak sahur untuk suami..hihi..eksaited maklumla first time..pastu sahur kitorang ngalahkan orang bukak puasa sume lengkap ada lauk jenis sayur bagai. Tapi ada jugakla terbabas, baru masuk sesuap dah azan...Ni tahun ni tak dapat nak bayangkan lagi resepi apa nak masak. Wiken ni nak pi borong sardin dalam tin. 29 tin cukup tak??? Kita pose 29 hari kan..hehe..

Tapi yang paling bestnya bulan Ramadhan ni pada saya la..pada saya ye:
1. Solat terawih


Memang takde dalam bulan-bulan yang lain. Rasa macam tak seronok kalau tak pergi terawih dalam bulan ramadhan. Rasa macam nak pergi kedai acik kat depan nun tapi lupa nak pakai tudung gitu perasaannya....Fadilat terawih ni besar sangat, harap2 dalam nak mengejar keberkatan terawih, takdela main tangkap muat je..memang salah satu keberkatan Ramadhan..

2. Bulan Rezeki


Yang ni paling best untuk orang-orang yang RAJIN macam saya..ngeh ngeh..alaaa...bukan malasss cuma tak sempat la (alasan kan..) balik keje nak masak lagi..nak tido sekejap lagi...hihihi.. Time bulan Ramadhan nak cari makanan segera selain yang memang dah sediakala segera, senang..merata-rata orang cari rezeki tambahan. Arakian (fuhhh...) di depan rumah kita pun ada orang cari rezeki. Rezeki 'tunjuk' orang kata..


3. Inovasi


Inovasi (sesuai ke?)Hihihi...time ni keluarla kuih muih yang segala macam kaler2 corak2..segala mak nenek kuih keluar..time beli agak2 duk kat depan kedai tu dalam setengah jam kut..tu diaaa...kuih dari hujung sana sampai hujung sini. Tapi bila dah rasa..adoi sedih.Tp niat nak tolong orang niaga jela (alasan lagi, padehal nafsu makan). Time tu keluar jugak Kuih Lapis Shahir, Kuih Sampan Jaclyn Victor walaupun Jac tak pose kut..Tepung Pelita Datuk Siti la..segala macam makanan...

4. Al-Quran



Seperti yang dah diketahui, Al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadhan. Inilah salah satu keistimewaan dan keberkatan bulan Ramadhan ni. Jadi, apa kata kita imarahkan bulan Ramadhan ni dengan banyakkan baca Al-Quran. Patutnya bukan dalam bulan Ramadhan je, bulan-bulan lain pun patutnya banyakkan baca Quran (ingatkan diri sendiri..). Tapi bila baca Quran dalam bulan Ramadhan terasa sayu je..terasa berkatnya bulan Ramadhan ni..



Dan banyak lagi...keberkatan Ramadhan yang pastinya takde dalam bulan-bulan yang lain. Bukan je tak boleh makan, minum buat benda yang batalkan puasa, tapi kena hayati sepenuhnya bulan Ramadhan ni barula terasa sempurna ibadah puasa kita..dan barula best nak beraya..
 
 
p/s : Selamat menempuh 3 Ramadhan hari ini dengan markah penuh.. 
 

Tuesday, August 02, 2011

Cerita 1 Ramadhan Saya..


Minggu lepas balik Kuala Kangsar, maklumlah Melaka cuti awal Ramadhan semalam.
Tapi kami bertolak balik awal.
Tak sempat berbuka dengan mak. Sempat bersahur je.
Sedihnya mak masa kami nak bertolak..
Yelah, yang paling jauh. Sedih hati dia...
Tapi nak buat macamana.... : (


On the way, sempat singgah di RnR Tapah Highway PLUS menghala Selatan.
Incik Husband saya belikan buah, ketupat palas dengan lemang.
Siap dengan rendang sekali.
Feel nak beraya awal la tu..


Tapi kami singgah di rumah kakak saya di KL.
Nak pergi Ampang boleh pulak tersesat sampai ke Convent Bukit Nanas.
Nasib baik memori zaman muda masih berfungsi, jumpa juga Jalan Ampang kat mana...


Semalam KL sesak macam biasa.
Kesian pada semua warga KL bersesak-sesak nak balik rumah berbuka dengan famili.
Tambah lagi yang kena naik bas. Berdiri pulak tu.
Dulu dah pernah rasa dah pengalaman menggigil lutut kena berdiri dalam bas waktu bulan pose..perghh..
Pitam kat Jalan TAR masa bulan pose pun pernah..hehe.


Sampai Melaka pukul 10.30 malam, terus hanyut ko..!
Tak sempat nak tengok drama bulan pose *tak insaf nak mengaji ke hape..hehe*
Pukul 3 pagi bangun kejutkan Incik Husband, kepala pusing sangat..
Ni la penangan pulut sebab berbuka dengan ketupat palas dengan lemang..
Moralnya, tak boleh berbuka puasa dengan pulut!


Semalam tengok orang pakai telekung pergi surau ramai-ramai.
Rasa macam bestnya kalau dapat pergi masjid solat terawih.
Tahun lepas tak dapat pergi sebab Ahmad kecik lagi.
Harap tahun ni kalau tak dapat solat terawih sekali, duduk kat belakang ambik feel/bau pun jadikla..
Kalau nak dibiarkan je Ahmad sorang-sorang takut ada yang melatah time solat sebab ada budak kecik masuk telekung!!