Wednesday, August 25, 2010

Bapa Sembelih Anak 3 Tahun - Tips Atasi Tekanan

Lagi kisah sedih di 14 Ramadhan.

Setelah heboh sana sini kisah kanak-kanak cedera main mercun raya, tiba-tiba ngerinya bila membaca muka depan akhbar hari ini yang melaporkan tentang kematian tragis seorang kanak-kanak 3 tahun yang disembelih oleh bapanya sendiri yang mengalami masalah mental di Kampung Sungai Budor, Kota Bharu, Kelantan.

Luluhnya hati ibu Mohd Adam Muszhaffar bila tengok suami sendiri sedang menyembelih anak mereka. Leher Mohd Adam hampir putus selepas disembelih oleh bapanya dengan menggunakan sebilah pisau. Sedihnya. Jika sebelum ini seorang isteri dibunuh suami yang juga pesakit mental di Teluk Intan, Perak, kini anak kecil ini pula yang menjadi mangsa.

Dilaporkan bahawa bapa Mohd Adam sudah lama tidak makan ubat sakit mental yang menyebabkan dia bertindak di luar kawalan sedemikian. Jika diperhatikan, semakin ramai rakyat kita yang mengalami masalah mental mungkin akibat tekanan daripada sekeliling, tekanan daripada bebanan kerja, mahupun masalah keturunan.

Apa yang penting, ahli keluarga perlu memastikan pesakit-pesakit mental ini diberikan rawatan sewajarnya secara berterusan kerana penyakit ini boleh berulang. Mendapatkan rawatan dan mengambil ubatan secara berterusan akan mengurangkan risiko penyakit ini berulang.

Menurut ahli Lembaga Kaunselor Malaysia, Prof Dr Suradi Salim semua individu berkemungkinan menghidap penyakit mental namun ia bergantung pada daya ketahanan individu tersebut. Katanya lagi, ramai pesakit takut untuk pakar kerana risau dianggap sebagai orang gila.

Tekanan perasaan, stress boleh menjadi punca penyakit ini bergantung macamana cara kita mengatasi dan mengawal emosi kita.

Antara tips untuk mengatasi stress/tekanan :

1. Dekatkan diri dengan Allah Maha Pencipta. Lakukan ibadah sebaik mungkin dan pertingkatkan amal ibadah yang boleh mendekatkan hati kita dengan Maha Pencipta. Kita juga mesti bersangka baik dengan Allah di atas segala ujian dan dugaan yang diberikan Allah kepada kita dengan anggapan segala ujian itu adalah untuk menguji sejauh mana tahap keimanan kita kepadaNya.

2. Perbanyakkan membaca Al-Quran dan biasakan diri sentiasa berada dalam keadaan berwuduk. Ianya boleh menenangkan jiwa. Sepertimana yang kita maklum, kita juga dinasihatkan berwuduk jika kita sedang marah.

3. Lakukan aktiviti senaman atau kecergasan di luar yang boleh membuatkan kita lupa tentang masalah yang kita hadapi seperti berjoging atau berenang. Ianya akan lebih bermakna sekiranya kita melakukannya bersama-sama dengan ahli keluarga dan orang yang kita sayangi.

4. Sentiasa berfikiran positif dan amalkan senaman pernafasan. Sekiranya di pejabat kita tiba-tiba rasa stress dan tegang, bernafas dengan teratur supaya oksigen dapat disalurkan ke otak. Lakukan senaman ringan atau mungkin boleh juga mendengar muzik ringan.

5. Amalkan diet yang seimbang. Diet yang sihat akan menjadikan tubuh badan kita sihat dan menjauhkan kita dari penyakit. Kadangkala ada individu yang mengalami tekanan perasaan setelah didiagnosis mengidap sesuatu penyakit.

6. Menangis dan luahkan perasaan kepada yang boleh membantu. Mungkin sahabat karib atau pakar kaunseling boleh membantu kita mengawal emosi. Jika tekanan dirasakan terlalu besar dan tidak boleh diuruskan sendiri, kita perlu mendapatkan bantuan dan rawatan.

7. Paling penting hargai dan bersyukur dengan kebolehan diri sendiri serta hargai dan cintai diri kita sendiri. Sentiasa ingat pada orang yang kita sayangi dan tanamkan dalam hati bahawa kita perlu menjaga diri sendiri demi mereka.

8. Paling mudah, ketawa. Gembirakan hati kita dengan membaca komik atau menonton sitkom komedi yang boleh membuatkan kita melupakan masalah dan tekanan. Ingat, takde masalah yang tidak boleh diselesaikan.


Jauhi stress dan hiduplah secara sihat. Semoga tiada lagi kejadian seperti ini.

- zero stress -