Thursday, July 19, 2012

Harleen's by Euro Moda & Gulati's


Pada suatu hari, kami sekeluarga telah membeli belah di Gulati's Silk House memandangkan Hari Raya Aidilfitri akan menjelang  tiba. Walaupun saya sedar Ramadhan belum pun tiba, tetapi saya tidak mahu membeli belah ketika bulan puasa supaya tenaga tidak berkurangan dan dapat beribadah dengan sempurna *poyo*.


Saya berasa sangaaaat gembira kerana dapat membeli kain untuk dijahit sebagai baju raya baru pada Hari Raya kali ini. Ini kerana sudah lama saya tidak memakai baju raya yang ditempah. Baju raya yang dibeli selalunya tidak menepati kehendak pelanggan yang berbadan comel seperti Lisa Surihani seperti saya *double poyo*.


Saya masih ingat sewaktu saya masih kecil, ibu saya selalu berpesan supaya tidak meninggalkan ibadah puasa kerana orang yang tidak berpuasa tidak dapat makan bersama dengan orang yang berpuasa ketika berbuka dan tidak dapat memakai baju raya baru di Hari Raya.*tetiba*


Di Gulati's Silk House kami telah diberikan peluang untuk mengisi borang cabutan bertuah kerana belian melebihi RM200. Seminggu selepas itu, tiba-tiba *jeng jeng jeng*  suami saya telah mendapat satu panggilan telefon yang mengatakan kami telah memenangi cabutan bertuah mingguan daripada Gulati's Silk House dan meminta suami saya untuk mengambil hadiah.


Saya berasa amat terkejut atas kemenangan ini! Ini kerana kami tidak pernah memenangi apa-apa pun jenis cabutan bertuah sebelum ini. Saya ketika itu telah membayangkan kami sedang menaiki sebuah kereta baru. *yang ni confirm triple poyo*.


Setelah suami saya balik daripada mengambil hadiah, saya sekali lagi terkejut kerana sebenarnya kami hanya memenangi tudung sebagai hadiah! Saya ketawa berjemaah bersama suami memandangkan angan-angan kami telah mengatasi angan-angan Mat Jenin *ko kalo berangan over kan*.  


Inilah dia 2 helai tudung Harleen's by Euro Moda & Gulati's yang telah kami menangi. Walaupun hanya tudung, tetapi  saya berasa amat gembira kerana kami adalah antara golongan yang 'bertuah'.


Dan kami suami isteri hidup bahagia selama-lamanya. Tamat.  







Komen pemeriksa :
Bahasa yang digunakan amat teratur dan menepati kehendak soalan. Gred keseluruhan : A+.

*Ha ha ha..meroyan seorang-seorang nak ambik exam dan jawab soalan exam. Rindunya nak jawab exam especially exam dalam bahasa Melayu. Haruskah daku menjadi student semula di kala baju tak berlipat ada di atas katil, di atas sofa serta baju sudah berbasuh tak sempat disidai dalam mesin basuh dan anak menangis minta susu? ngeeeee*