Tuesday, July 26, 2011

Jiran Kami.

Karangan saya hari ini bertajuk "Jiran Kami"

Kami mempunyai ramai jiran memandangkan kami tinggal di sebuah rumah teres di sebuah taman perumahan.
Tidak disangka-sangka, rupanya kami mempunyai jiran yang baik hati.
Jiran tersebut adalah jiran yang tinggal di hadapan rumah kami.
Beliau sangat baik hati kerana telah menghadiahkan (??) kami seplastik buah rambutan pada hari Ahad yang lepas.
Beliau sangat baik hati walaupun kami tidak mengenali beliau selama ini.


Kami juga suka pada jiran sebelah kanan rumah kami.
Ini kerana beliau (auntie) juga baik hati kerana pernah menghadiahkan (??) sejambak (??) buah rambutan juga pada suatu masa dahulu.
Auntie sangat-sangat peramah dan kami selalu bergosip ketika auntie sempat menangkap saya sedang menyidai baju di luar.
Kadangkala saya terpaksa menipu auntie dengan mengatakan dapur saya hampir rentung untuk menghentikan perbualan dengan auntie.
Ini kerana auntie sangat peramah orangnya. 


Kami tidak berapa suka pada jiran sebelah kiri rumah kami kerana keluarga ini sangat misteri.
Malahan, kami tidak sempat berkenalan senyum mahupun bersalam dengan mereka sekeluarga.
Rumah mereka dipenuhi pokok-pokok bunga dan tidak berbunga dan selalu sahaja gelap gelita.
Semasa Ahmad masih berada dalam perut saya (??), kami tidak dapat tidur lena kerana keluarga ini sangat misteri nusantara kerana mereka suka bertukang di waktu malam atau menjelang pagi.
Mereka juga suka bersembang kuat pada pukul 12 tengah malam dan ke atas serta menumbuk sambal tengah-tengah malam buta.
Pada suatu malam, dinding bilik tidur kami seperti dikorek-korek dengan cangkul bunyinya.
Suami saya sangat risau lalu telah memanggil (?? *macam lambai-lambai pulak*) polis untuk memeriksa rumah mereka.
Mujur polis tersebut tidak menyerbu masuk rumah mereka.
Jika tidak, besar kemungkinan, kami terpaksa berpindah pada malam itu juga.. : P


Kami tidak sempat hendak bermesra-mesra-an dengan jiran tetangga memandangkan kami keluar rumah sebelum pukul 7 pagi dan balik selepas 8 malam.
Jadi kami tidak pasti kalau-kalau mereka pun agak menyampah dengan kami.
Kami pura-pura sibuk macam Perdana Menteri Uganda walaupun kami tidak kaya.
Kami hanya kerja makan gaji sahaja.
Eh, saya telah melalut dan telah terkeluar dari tajuk karangan. 
Risau pula markah ditolak oleh pemeriksa. 


Tapi saya dapat merasakan jiran saya yang saya sebutkan di perenggan pertama di atas akan turut membuat sebuah karangan bertajuk "Jiran Saya Yang Tidak Baik Hati".
Ini kerana ketika beliau memberi salam, suami saya telah menggeleng-gelengkan kepala kepada beliau membawa maksud...
"Kak, tak nak beli kak..takpe takpe..terima kasih banyak"



p/s : rindu nak buat karangan Bahasa Melayu macam SPM dulu.