Wednesday, July 28, 2010

Sekolah Murid Mengandung..

Seperti yang telah dilaporkan di dalam akhbar-akhbar tempatan, Kerajaan Negeri Melaka telah mencadangkan pembukaan sebuah sekolah khas untuk murid mengandung.


Ura-ura tentang idea pembukaan sekolah ini telah lama didengari oleh kalangan rakyat negeri Melaka sendiri. Ketika Ketua Menteri Melaka, YBhg Datuk Seri Mohd Ali Rustam berucap dalam majlis-majlis rasmi sekitar Melaka, beliau telah mewar-warkan sokongan kerajaan negeri Melaka untuk menggalakkan remaja bernikah lebih awal bagi mengelakkan gelaja pembuangan bayi yang sangat berleluasa ketika ini.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan memberi bantuan kepada mana-mana remaja yang hendak berkahwin awal tapi tidak berkemampuan dari segi kewangan.

Walaupun tidak mendapat sokongan daripada Kementerian Pelajaran, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tetap dengan pendirian meneruskan pembukaan sekolah tersebut samada di bawah kelolaan jabatan agama islam atau secara swasta.

Beliau turut menegaskan bahawa langkah tersebut bukanlah untuk menggalakkan lagi gejala hamil luar nikah tetapi menunaikan tanggungjawab kerajaan untuk  menyelesaikan masalah remaja-remaja ini yang perlukan sokongan dan bantuan selepas hamil luar nikah.

Beliau menjelaskan bahawa sekolah ini hanyalah terbuka untuk remaja perempuan mengandung yang sudah berkahwin secara sah. Rasionalnya adalah bagi mengelakkan mereka ini daripada keciciran dalam pelajaran setelah tidak diterima oleh pihak sekolah kerana hamil. Tetapi, dimaklumkan juga bahawa sekolah ini terbuka untuk kemasukan remaja perempuan hamil luar nikah dengan syarat remaja tersebut mengahwini bapa kepada anak yang dikandunginya terlebih dahulu.


Pendapat saya, idea penubuhan sekolah ini perlu ada rasionalnya. Dan sudah pasti akan ada keburukan dan kebaikannya.

Wajarnya, pembukaan sekolah ini akan membuka peluang remaja mengandung yang keciciran dalam pelajaran ketika mengikuti pembelajaran di sekolah aliran biasa mengikuti semula pelajaran sepertimana pelajar lain.Dan juga memberi ruang baru kepada remaja yang hamil luar nikah untuk menjalani kehidupan seperti ibu-ibu yang lain.

Namun begitu, pada pendapat saya, pembukaan sekolah ini tidak dapat membendung gejala sosial terutamanya gejala buang bayi secara langsung. Adalah penting bagi kita memahami 'akar tunjang' kepada masalah sosial yang menggila ini dan bukannya sekadar 'mengubati' gelaja ini setelah ianya menjadi 'nanah'. Lebih mudah bagi kita mencegah dari mengubati. Langkah negeri Melaka ini jelas adalah salah satu langkah merawati 'penyakit' yang menyerang masyarakat dan ianya jelas menunjukkan betapa parahnya sosial masyarakat hari ini.

Diakui bahawa amatlah penting bagi kerajaan mengambil langkah mencegah seperti mengukuhkan kembali institusi kekeluargaan bagi mengelakkan gejala dan masalah sosial ini. Jika sesebuah keluarga itu pincang dan tidak kukuh hubungan dengan Maha Pencipta, maka agak sukar hendak membina institusi yang tidak goyah. Malahan, sikap ambil tahu dan 'jaga tepi kain orang' saya kira amatlah relevan di zaman ini sebagai langkah preventif. Masyarakat kita perlu bersikap lebih terbuka dalam menerima teguran. Dan kajian mendalam tentang pengukuhan institusi kekeluargaan di negara ini perlulah lebih meluas. Malahan, kita sebagai ibu bapa tidak boleh menunding jari kepada orang lain sekiranya perkara sedemikian berlaku di dalam keluarga kita sendiri.

Selain itu, sekiranya penubuhan sekolah ini menjadi kenyataan, kajian menyeluruh mengenai undang-undang sedia ada berkaitan dengan remaja bawah umur perlu dibuat. Saya  berpendapat bahawa walaupun hal ehwal agama (sekiranya sekolah tersebut dibina di bawah kelolaan majlis agama islam) adalah di bawah Senarai Negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan, namun hal ehwal pendidikan masih tertakluk kepada Senarai Persekutuan yang memungkinkan berlakunya kekeliruan undang-undang kelak.  

Walau bagaimanapun, persoalannya adakah kahwin awal akan menyelesaikan masalah gejala sosial ini ataupun hanya akan meningkatkan statistik kes cerai di usia muda? Ataupun akan meningkatkan lagi kes isteri dan anak yang ditinggalkan tanpa nafkah?
Seperti yang ditegaskan oleh kerajaan negeri Melaka, idea penubuhan ini adalah salah satu tanggungjawab kerajaan merawati barah yang semakin merebak. Daripada hanya mengkritik tidak salah sekiranya segala pertimbangan baik buruk penubuhan sekolah ini dibuat sebaiknya termasuk mengambilkira rasionalnya. Ini dianggap sama seperti langkah kerajaan membuka "The Baby Hatch" (Pusat Jagaan Bayi Tidak Diingini) bagi mengekang dan menyelamatkan nyawa bayi-bayi yang tidak berdosa.

Sanggupkah kita menatap berita pembuangan bayi hampir setiap hari? Yang bermakna nyawa tidak berdosa dianggap mainan semata-mata atau kita akan melihat peningkatan statistik jumlah remaja hamil luar nikah atau bercerai muda atau digantung tidak bertali secara mendadak? Perlu diimbangi positif dan negatifnya.

Yang pastinya adakah sekolah ini akan ada manfaatnya di kemudian hari. Kita tidak mahu ianya nanti terbiar kosong tanpa murid. Harus difikirkan samada sanggupkah remaja ini yang hamil luar nikah yang sudah berkahwin secara 'bidan terjun' untuk mendaftar di sekolah ini. Dan persoalannya lagi masihkah mereka ini berminat untuk meneruskan pelajaran mereka. Kalau sekarang ini bayi dibuang merata-rata disebabkan perasaan malu mengandung luar nikah, adakah mereka-mereka ini sanggup menahan malu untuk menyambung pelajaran di sekolah ini.

Selain itu, saya yakin tidak kesemua bayi-bayi yang tidak berdosa yang telah dibuang datang dari remaja sahaja. Ada kemungkinan kes-kes tersebut melibatkan orang dewasa yang tidak mempunyai jalan keluar dari masalah hamil luar nikah selain membuang bayi mereka.

Dan perlu juga kita fikirkan arah dan masa depan anak-anak yang lahir dari remaja-remaja di sekolah ini. Sekiranya lahir dari remaja 'kahwin kerana terlanjur', bagaimanakah nasib mereka di kemudian hari.

Apa langkah yang sewajarnya yang perlu diambil perlu difikirkan secara menyeluruh oleh kerajaan negeri Melaka. Yang ini hanyalah pendapat saya sendiri. Mungkin anda semua ada pendapat yang berlainan.

5 comments:

Lady of Leisure said...

sedih tengok baby2 kene buang kan..
:(

The Womanish said...

memang lah, ada pros & cons...

whatever it is, like u said....berbalik pada akar tunjang masalah.

tapi at least, it also a good opt jugak, sekurang2nya taklah terbuang mcm tu je baby2 yg tak berdosa.

tapi dorang yg buang2 anak ni....takde perasaan ke agaknya kan???

Anonymous said...

ami...komen yg kurang ilmiah dari aku:
pada aku sama ja dgn pusat2 pemulihan akhlak yg dok ada skrg nih.mayb content dia more la kot plus dgn silibus skolah.so point dia x mau bg bdk yg mengandung tercicir skolah or nak kasi choice tuk bdk2 skolah yg nak kawen sgt.camtu ke mi?

pada ami la kan...agaknya apsal baby2 ni dibuang?pd aku la ye...baby2 ni dibuang sbb takut,nak tutup malu,tak nak org lain tau dia mengandung luar nikah,takut parent tau,frust sbb pasangan x mau tanggungjawap sama.so mcm kata ami...ni bukan soal remaja semata2...tp org dewasa pun sama.so sah2 la org yg terlibat nih x mau org tau yg dia mengandung.so agaknya ada ke mereka ni dgn rela ati nak register p skolah nih?dan pada pandangan aku andai kata parent/famili yg find out yg anaknya mengandung luar nikah aku rasa diorg ni tak gamak la suh anak diorg ni buang or bunuh bb yg dah dilahirkan melainkan suruh gugur tu mungkin ada...tp nak suh tanam idup2..buang dlm longkang...ish...susah nak diterima akai la.

reality nya kesan permodenan memang mengubah gaya hidup manusia.ramai parents yg lepas pandang anak2.mayb atas alasan tak mau terlalu mengongkong atau terlampau busy.pergaulan anak2 dipandang sebelah mata.anak2 kuar malam2..naik motor laki perempuan..pegang2 tangan(mula2 pehtu melarat tempat lain pulak)..dianggap perkara biasa dan tak patut dihalang.pakaian x payah ckp la.kang ada yg melenting pulak.memang nampak pandangan aku nih kolot tp reality nya suma ni adlh perkara2 yg menhampiri zina.tp kalau parents yg betul2 jaga...tp anak buat jugak benda2 ni di belakang...tu mmg tak boleh nak kata apa.apa yg boleh parent buat sentiasa berdoa anak2 terpelihara.

point aku kat sini adalah 'avoid zina'.bukan setakat parent n famili...tp kerajaan..pemimpin2 kerajaan kena betul2 komited nak benteras penyakit sosial nih.tutup suma 'lubang2' yg menjurus pd perbuatan zina.

en...mcm satu n3 plak...ampunnn ye ami...!

amirah said...

betul la ruhul..nampak sgt masyarakat kita dh teruk kan..up to the extend kena pikirkan benda2 sekolah la pusat jagaan la bagai..setujula kerajaan kalau buat tindakan tegas, sekurng2nya dpt la mngurngkan kes zina ni..ie. hotel takbleh masuk sesukahati, kena tunjuk bukti ada hubungan, konsert kurng2kan la..ni melaka ni byk sgt la event la function yg tak membantu pun..ni yg mendorong pun..pastu nk kena mencegahla pulak..parents penting tu kena tau kat mana anak dia ada..biarla kata kongkong anak asal kita tkde saham neraka sama..ermmm...susah nak kata

ayukhairy said...

ruhul : aku suka point ko..amat bernas..^_^